Wednesday 21 October 2015

15 Petanda Anda Mengandung Sebelum Ujian Pengesahan

Anda sedang merancang kehamilan? Anda ternanti-nanti berita gembira?

Tahukah anda bahawa anda boleh mengenalpasti beberapa tanda yang anda mungkin mengandung walaupun belum membuat sebarang ujian pengesahan kehamilan. Kenali 15 tanda-tanda di bawah:


1. Alahan Mengandung/Morning Sickness
Perubahan hormon-hormon akan terjadi sebaik sahaja anda hamil. Lebih 80% wanita hamil mengalami morning sicknessi, seperti loya dan muntah. Ada yang hanya mengalaminya beberapa minggu di awal kehamilan dan ada yang teruk sehingga berbulan-bulan.

2. Perubahan Mood
Peningkatan hormon hCG (human chorionic gonadotropin) yang dirembeskan oleh uri menyebabkan anda kemurungan kerana berasa lesu. 

3. Sensitif Bau
Sesetengah dari anda akan mula tidak menyukai bau yang dahulunya anda suka sebelum hamil, dan sebaliknya. Bau yang tidak kuat dikatakan teramat menusuk hidung.

4. Pening Kepala
Badan anda sedang menyesuaikan diri dengan peningkatan beberapa hormon. Pertambahan isipadu darah juga mungkin salah satu faktor anda sakit kepala.

5. Keletihan
Beberapa minggu selepas persenyawaan, bayi anda akan mula menggunakan kalori anda melalui tali pusat. Anda akan berasa letih jika tidak makan mengikut jadual atau makanan/air keluar dari tubuh ketika muntah.

6. Pendarahan
Sebilangan wanita akan mengalami sedikit pendarahan akibat proses penempelan embrio. 

7. Sakit di Payu Dara
Pertambahan hormon hCG dan progesteron yang meningkatkan isipadu darah akan mengakibatkan payudara anda membengkak sedikit dan lebih berat daripada biasa.

8. Perubahan Warna Puting Payu Dara
Beberapa minggu selepas hamil, puting payu dara anda akan berubah warna menjadi lebih gelap, ada yang mungkin lebih hitam. Perubahan ini mungkin kekal sehingga hujung kehamilan. 

9. Perubahan Suhu Asas Badan
Suhu asas badan anda akan meningkat setengah darjah Celsius atau lebih daripada biasa ketika ovulasi (pengeluaran telur). Jika suhu ini tidak menurun selepas lebih dua minggu dan ke atas, anda mungkin hamil.

10. Perubahan Selera Makan
Anda mula menyukai hidangan yang tidak pernah anda gemar sebelum hamil, dan sebaliknya. Anda mungkin juga mahu hidangan yang sama setiap hari tanpa jemu. 

11. Kerap Lapar
Tenaga yang digunakan atau nutrisi yang telah diserap oleh bayi menyebabkan anda berasa mudah lapar. 

12. Perut Mengembang
Perut anda kelihatan lebih besar akibat peningkatan hormon progesteron yang memperlahankan proses penghadaman di saluran pencernaan. Kandungan air ketuban (amniotic fluid) yang mula meningkat juga mempengaruhi. 

13. Sembelit
Saluran pencernaan makanan yang semakin perlahan menyebabkan makanan tidak dapat dihadam sepenuhnya. Ini mendatangkan masalah sembelit, lebih-lebih lagi sekiranya kurang pengambilan air.

14. Kekejangan
Kekejangan mungkin berlaku pada anda akibat pengembangan rahim/uterus selepas penempelan embrio di dinding rahim. 

15. Kerap Buang Air Kecil
Buah pinggang anda akan mula bekerja lebih kuat untuk mengawalatur bendalir badan semasa kehamilan. Kekerapan ini akan meningkat di trimester akhir kehamilan kerana rahim memberi tekanan ke atas pundi kencing anda.

Sekiranya anda mengalami sebahagian tanda-tanda di atas dan tidak datang bulan pada tempoh yang sepatutnya... 
Maka... 
Sudah tiba masanya anda pergi berjumpa doktor!...

No comments:

Post a Comment