Thursday 11 February 2016

10 Pemeriksaan Awal Fizikal Bayi Baru Lahir Yang Ibu Mesti Tahu

Ibu-ibu yang pernah melalui proses kelahiran, anda pasti ingat saat-saat indah memeluk bayi comel anda buat pertama kali. Kemudian, bayi anda dibawa pergi dari anda dan suami ke bilik atau ruang yang lain.  


Anda tertanya-tanya "apakah agaknya yang doktor atau nurse akan/sedang lakukan kepada bayiku?" Saya juga pernah tertanya-tanya sebegitu.  

Sebenarnya, pada hari pertama kelahiran, bayi anda mesti melalui beberapa langkah pemeriksaan awal seperti ujian fizikal dan ujian darah. Pemeriksaan ini penting kerana ia bertujuan memastikan bayi anda berada dalam keadaan sihat. 

Sekiranya terdapat masalah pada bayi, doktor akan terus membuat pemeriksaan lebih terperinci dan tindakan susulan dengan memberi rawatan yang sepatutnya. 

Pada kali ini saya ingin menyenaraikan pemeriksaan awal fizikal yang mana doktor hanya mengambil masa 5-10 minit sahaja. Saya perolehi ilmu ini dari majalah kesihatan.

Berikut adalah 10 Pemeriksaan Awal Bayi:

1. Ukuran Lilitan Kepala, Berat & Panjang
Data ukuran lilitan kepala, berat & panjang amat penting kerana ia akan direkodkan dalam buku carta tumbesaran bayi. Data-data baru semasa pemeriksaan berkala akan dibandingkan dengan data pengiraan awal ini bagi menentukan pertumbuhan bayi positif atau sebaliknya.  




2. Paru-paru & Jantung
Degupan jantung bayi dan keadaan paru-paru bayi diteliti dengan stetoskop. Bayi perlu dipastikan dapat bernafas dengan baik.


Contohnya, sesetengah bayi pra-matang mungkin mengalami masalah pernafasan akibat paru-paru yang belum boleh berfungsi sepenuhnya. Maka, bayi ini akan ditempatkan di dalam inkubator sementara waktu. 

Doktor mengesan sistem pernafasan bayi pramatang kami (Husna) masih belum mampu berfungsi sepenuhnya melalu ujian fizikal. Husna ditempatkan sementara di dalam kotak oksigen sebelum dipindahkan ke dalam inkubator.

Melalui pemeriksaan awal inilah juga doktor dapat mengesan sebilangan kes yang mana jantung bayi tidak berdegup dengan normal.


3. Kepala
Keseluruhan bahagian kepala diperiksa untuk memastikan semuanya normal dan tiada pembengkakan tempurung kepala. Penggunaan vakum atau forsep semasa proses kelahiran mungkin boleh menyebabkan masalah ini.


4. Mata
Keadaan dan kedudukan mata dipastikan normal dan unsur katarak pada mata diperiksa dengan penggunaan lampu suluh khas.


5. Telinga & Hidung
Keseluruhan bahagian telinga dan hidung diperiksa keadaanya dan bagi memastikan bayi tidak terkena sebrang jangkitan kuman.


6. Mulut
Bahagian luar dan dalam mulut bayi diperiksa untuk dipastikan tiada masalah sumbing, bengkak gusi atau terbelah lelangit.


7. Alat Kelamin
Pemeriksaan bahagian alat kelamin atau kemaluan bayi dilakukan dengan teliti. Misalnya bayi lelaki, penis dan buah zakar dipastikan tiada pembengkakan atau pengumpulan lendir di bahagian tersebut. 

Sesetengah bayi lelaki pra-matang mungkin mengalami masalah yang mana testis tidak sempat turun ke kantung (scrotum). Beberapa pembedahan susulan perlu dilakukan bagi kes seperti ini.


8. Jari & Kaki
Keadaan keseluruhan kaki dan jari-jemari tangan bayi akan diperiksa sama ada normal atau ada sebarang masalah kecacatan.


9. Tulang Belakang
Tulang belakang perlu dipastikan dalam keadaan lurus. Jika ada bahagian tulang yang bengkok, rawatan susulan akan dilakukan. Antara puncanya adalah kedudukan tulang yang tidak betul. 




10. Tindakan Refleks
Bagi memastikan sistem saraf bayi berfungsi dengan baik, doktor akan melakukan ujian yang melihat tindak balas refleks seperti genggaman dan gerakan tangan bayi.

Apabila telah selesai pemeriksaan-pemeriksaan awal di atas, bayi anda akan dibawa kepada anda. Maka bersabarlah wahai ibu... dan ayah... InshaAllah semuanya didoakan yang baik-baik aje...

No comments:

Post a Comment