Tuesday 9 August 2016

Lemah Kawalan Kencing | Penyakit atau Bukan?

Masalah Lemah Kawalan Kencing merupakan simptom yang disebabkan oleh masalah kesihatan atau kadangkala merupakan kesan daripada sebarang pengambilan ubatan. 2 daripada 3 wanita di luar sana mungkin mengalami masalah Lemah Kawalan Kencing.


Ia bukanlah satu penyakit!

Bagi mencari langkah yang terbaik untuk mengawal masalah ini, penting untuk kita mengenalpasti jenis masalah lemah kawalan kencing yang dialami dan memahami secara mendalam. Seterusnya, berbincang dengan doktor atau pakar perubatan tentang langkah terbaik menghadapi dan mengurusnya.

Kebarangkalian mempunyai masalah Lemah Kawalan Kencing adalah 2 kali ganda pada wanita berbanding lelaki. 

Ini kerana wanita melalui beberapa proses atau perubahan  besar dalam hidupnya; penyebab yang paling utama ialah:
  • Hamil
  • Melahirkan
  • Menopause

Berikut adalah antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan Lemah Kawalan Kencing pada kedua-dua wanita dan lelaki:
  • Ubat-ubatan
  • Sembelit
  • Jangkitan kuman
  • Kafein atau alkohol
  • Kerosakan saraf
  • Berlebihan berat badan

  
Terdapat 5 Jenis Inkontinen

Inkontinen Jenis Tekanan (Stress Incontinence)

Wanita dengan inkontinen tekanan boleh mengalami kebocoran air kecil ketika batuk, bersin, ketawa, bersenam, mengangkat bebanan dan melakukan aktiviti yang berat.

Melahirkan anak dan menjalani sesetengah pembedahan boleh melemahkan otot lantai pelvik (otot di bawah pundi kencing) menyebabkan kebocoran urin ketika bahagian abdomen mengalami tekanan. Kedaan ini selalunya berlaku pada perempuan yang masih muda.

Inkontinen jenis ini selalunya berlaku pada individu yang memiliki sfinkter (otot pencerut) yang lemah. Otot-otot lantai pelvik dan sfinkter tidak dapat memastikan tiub pengaliran keluar pundi kencing (uretra) tertutup ketika melakukan aktiviti yang memberi tekanan pada abdomen.
  

Inkontinen Jenis Desakan (Urge Incontinence)

Wanita dengan masalah ini boleh kehilangan air kencing (urin) dalam jumlah yang besar. Wujud perasaan ‘tidak sempat ke bilik air’. Inkontinen jenis ini selalunya disebabkan oleh pundi kencing yang terlebih aktif, ia berkontraksi sebelum individu betul-betul bersedia.

Ramai wanita yang mengalami inkontinen jenis desakan akibat daripada infeksi yang menyebabkan iritasi kepada pundi kencing atau salur keluar pundi kencing (uretra), atau menyebabkan spasma otot (pengecutan otot luar kawalan), yang memaksa pengeluaran air kencing dari pundi kencing.

Sembelit juga boleh menyebabkan masalah ini akibat daripada kehilangan keupayaan untuk mengawal otot. Strok, kecederaan spinal cord (saraf tunjang), dementia (nyanyuk) atau penyakit-penyakit yang mempunyai kesan terhadap sistem saraf seperti Parkinson dan multiple sclerosis juga boleh menyebabkan kelemahan kawalan kencing jenis ini.


Inkontinen Jenis Campuran (Mixed Incontinence)

Adalah tidak mustahil untuk seseorang itu mengalami simptom kedua-dua jenis inkontinen jenis stress dan desakan pada masa yang sama. Kedua-dua jenis masalah ini mungkin atau tidak mungkin berkaitan dan perlu diteliti secara berasingan.


Inkontinen Jenis Melimpah (Overflow Incontinence)
         
Sesetengah wanita mengalami keadaan di mana mereka tidak mempunyai rasa/desakan untuk kencing atau mengalami keadaan yang mana uretra (saluran keluar air kencing) tersumbat. Di dalam kedua-dua keadaan ini, pundi kencing tidak dapat dikosongkan dengan sepenuhnya, dan apabila air kencing di dalam pundi berlebihan, air kencing tersebut akan dipaksa keluar. Lemah kawalan kencing jenis ini sering berpunca daripada masalah sistem saraf dan kecederaan pada otot saraf tunjang.

 
Inkontinen disebabkan Penggunaan Ubat
  
Terdapat setengah ubat yang boleh menjadi punca kepada kegagalan kawalan kencing untuk mengecutkan otot atau menghalang isyarat dari pundi kencing yang telah penuh ke otak. Dalam keadaan ini, doktor mungkin menukar jenis ubat yang diambil bagi mengurangkan kesan sampingan yang dialami. 


Semoga informasi dari Poise dan womenshealth.gov ini sedikit sebanyak membantu anda untuk mengenalpasti jenis masalah Lemah Kawalan Kencing.

No comments:

Post a Comment