Friday 5 August 2016

Mendalami Surah Al-Fatihah: Nama-nama Lain Surah Al-Fatihah

Salam Jumaat rakan!

Sudah baca surah Al-Kahfi? Bacalah paling kurang pun 10 ayat yang pertana.

Saya ingin kongsikan sedikit pengenalan Surah Al-Fatihah pada hari ini. Ilmu yang diperolehi dari buku Perbendaharaan Al-Qura'an.
Surah Al-Fatihah adalah surah yang sangat utama dalam kehidupan seorang Muslim kerana ia wajib dibaca dalam ibadah solat fardhu mahupun sunat.

Surah Al-Fatihah merupakan surah Makkiyyah (iaitu surah yang diturunkan sebelum Hijrah Nabi Muhammad S.A.W.)

Secara umumnya, surah Al-Fatihah mengandungi perkara-perkara asa yang berkaitan tauhid, ibadah, tasyri', iman kepada hari kebangkitan, sifat-sifat Allah yang mulia, doa untuk meminta hidayah kepada agama yang benar dan meminta jalan yang lurus serta menjauhkan dari jalan yang menyeleweng dari hidayah Allah.

Ia dinamakan Umm al-Qur'an (induk al-Quran) kerana isi kandungannya merangkumi keseluruhan tema-tema utama yang terdapat dalam keseluruhan al-Quran al-Karim.

Surah Al-Fatihah mempunyai banyak nama lain sebenarnya, seperti berikut (beserta maksudnya):
  • Fatihah al-Kitab - Pembuka Kitab atau Pembuka Al-Quran 
  • Al-Hamd - puji-pujian (segala puji-pujian adalah untuk Allah) 
  • Al-Sab'u al-Mathani - tujuh ayat yang sentiasa diulang-ulang (Al-Sab'u = 7; merujuk bilangan ayat surah Al-Fatihah. al-Mathani = yang sentiasa diulang-ulangi; diulang-ulangi setiap kali seseorang mengerjakan solat lima waktu sehari semalam, di mana ia dibaca pada setiap rakaat.)
  • Al-Qur'an al-'Azim - Al-Quran yang agung 
  • Umm al-Qur'an atau Umm al-Kitab - ibu atau induk al-Quran atau induk al-Kitab (kedudukannya yang terletak di depan surah-surah yang lain dalam Al-Quran).
  • Al-Solat - sembahyang 
  • Al-Syifa' - penawar atau penyembuh 
  • Al-Ruqyah - jampi atau doa 
  • Al-Asas - asas atau dasar 
  • Al-Wafiyah - yang sempurna (ayat-ayatnya tidak boleh dipecah-pecahkan dalam solat. Ia mesti dibaca dengan sempurna dan penuh 7 ayat) 
  • Al-Kafiyah - yang cukup atau mencukupi (kerana ayat-ayatnya tidak boleh ditukar ganti dalam solat dengan ayat-ayat yang lain daripada surah dalam Al-Quran yang lain. Hanya dengan surah Al-Fatihah sahaja, maka mencukupi untuk kesempurnaan solat itu).
  • Al-Su'al - permohonan atau permintaan 
  • Al-Syukr - syukur atau kesyukuran
  • Al-Du'a - doa
  • Al-Kanz - khazanah, perbendaharaan, atau tempat simpanan barangan yang berharga atau bernilai tinggi
Semoga bertambah keimanan kita terhadap Allah.
Semoga kita berjaya dalam hidup dunia akhirat.
Semoga kita ditempatkan di syurga Allah.
Amin.

No comments:

Post a Comment